Pages

21 Apr 2011

Di mana kemaafanmu...

Kita mengharap dia tahu tetapi kita pernah memberitahu,
Kita mengharap dia faham, tetapi kita tak pernah memberi dia faham...
Dalam hidup ini, kita bertemu dengan ramai orang. Kita berurusan dengan pelbagai manusia. Adakala hati terluka kerna tingkah dan kata-kata mereka. Merawat hati dan perasaan, tak semudah merawat luka di badan. Hati itu kurniaan Allah, begitu lembut dan penuh kasih-sayang. Ibarat pasir ditepi pantai, berubah mengikut alunan ombak. Namun bisa saja hati itu menjadi sekeras batu-batuan. Yang terlalu melindung diri dan tak peduli ombak dipersisiran. 


Bila hati terluka, kita mengharap dia tahu, betapa hati ini sakit dan terluka. Malangnya, kita tak pernah memberitahu dan sekadar menyimpan rasa. Luka semakin bernanah dah kita terus membiarkannya parah. Bila hati terluka, kita mengharap dia faham, betapa hati ini kecewa dan pedih. Tetapi kita terlupa dia hanya manusia biasa. Yang masih belajar erti kehidupan.
 
Ramai manusia, yang sakit hati dan kecewa namun sekadar berdiam diri. Tidak pernah berusaha mencari ruang, untuk menjernihkan keadaan. Disimpan hati yang sakit, hingga terlupa kisah semalam dan tiada lagi tawa bersama. Bila salam dihulur, mengapa palingan muka yang kau lontarkan. Manusia sering saja membuat silap. Dan mengapa pintu kemaafan itu terlalu sukar untuk dibukakan. Maka apa yang ingin kau buktikan??


Terima kasih kerana pernah memberi perhatian, daif diriku kerana tak mampu menjadi sehebat kamu. Ynag terlalu banyak memberi dan aku sekadar menerima. Kerana yang ku mampu beri, hanyalah doa dihujung sejadah juga ingatan didalam hati. Adakala aku mencipta kata, yang kudapat hanya kerdipan mata. Adakala aku pergi membawa diri, tetapi masih disalah erti. Maka apa lagi yang kau mahukan??


Andai saja kau tahu, betapa aku sayang... Mungkin kata dan tingkah tak pernah mengiakan, tetapi tahulah bahawa kau sentiasa di hati. Biarlah Allah menjadi saksi, kerana aku tidak lagi mampu menabur janji, juga tak mampu merawat hati, seorang sahabat yang kukasihi.
Aku bukanlah yang terbaik, moga kau akan bertemu sahabat yang lebih memahami di sepanjang laluan kehidupan. Andai ada rindu yang datang menyapa, sambutlah walau sebentar. Ku undurkan diri agar hati itu bisa terubat, seiring berjalannya waktu. Salam sayang buat sahabat.. 

20 Mar 2011

Berjemaah itu Indah


Ada sifat-sifat tertentu yang mesti dimiliki oleh setiap jemaah. Seseorang Muslim yang ingin melibatkan diri dengan jemaah tersebut bagi menunaikan kewajipan ini mestilah melihat pada sifat-sifat yang telah ditetapkan ini..


Bukan hanya memilih ikut selera diri, sekiranya kena dengan kehendak maka dia bersetuju akan tetapi sekiranya bertentang dengan kehendak dia memberontak. Sekiranya jemaah Islam tersebut merangkumi ketetapan yang telah ditetapkan ini maka teruskanlah perjungan anda bersamanya..


Mengembalikan manusia seluruhnya kepada kefahaman Islam yang betul,syumul dan bersih, khususnya kepada orang-orang yang bekerja untuk Islam. Kefahaman tersebut hendaklah sama dengan apa yang telah dibawa oleh Muhammad (s.a.w). Ia adalah jauh dari bersifat kekurangan, menyeleweng, salah, melampau dan cuai.


Dari Ust Mustafa Masyhur


Pertama: Kaum Muslimin mestilah berpadu dalam perkara ini, tanpa taksub pada mana-mana pendapat atau mazhab. Ia mestilah dalam bentuk yang dapat melaksanakan kerjasama umat Islam dalam perkara-perkara usul yang disepakati. Manakala dalam perkara furuk yang khilaf pula ia diberikan kelonggaran.


Perkara yang menyebabkan umat Islam sentiasa berpecah hingga berpuak-puak dan berparti-parti tidak lain dari sebab perselisihan mereka dalam memahami Islam. Mereka hanyut jauh dari kefahaman sebenar, sebagaimana yang dihayati oleh umat Islam pertama dahulu, iaitu bersama dengan Rasulullah (s.a.w).


Begitu juga bila kita sedar bahawa antara tujuan utama yang ingin dilaksanakan itu ialah menegakkan Negara Islam Antarabangsa dengan dikepalai oleh seorang Khalifah, kita mestilah mengasaskan Daulah yang diidam-idamkan itu atas kefahaman Islam yang betul, syumul dan bersih. Sebabnya kita patut menunaikan risalahnya secara benar dan betul, kerana sebarang kecacatan yang berlaku dalam kefahaman Islam tersebut akan membawa pada kecacatan perlaksanaannya.


Bagi jemaah yang berusaha melaksanakan tuntutan-tuntutan Islam serta tanggungjawabnya mestilah meletakkan dalam manhaj mereka ketetapan untuk Negara Islam, sistem Khilafah dan peneguhan agama ini di bumi. Adalah tidak patut seseorang itu menyertai mana-mana jemaah yang menyempitkan pertubuhannya pada setengah bidang Islam sahaja.


Kedua: Walaupun sesuatu jemaah itu melakukan segala tuntutan Islam yang lain, tetapi ia menjauhkan matlamat menegakkan negara Islam serta Khilafah Islamiah, maka seseorang Muslim tidak patut juga menyertainya. Sebabnya, selagi ada kecuaian menunaikan perkara wajib, bererti dosa mencuaikannya pun ada juga.


Sebenarnya Rasulullah (s.a.w) telah menanam akidah dalam diri kaum Mukminin, generasi pertama. Kumpulan-kumpulan manusia yang berakidah, yang telah ditarbiahkan oleh Rasulullah (s.a.w), dengan tarbiah Al-Qur’an telah dilahirkan dari madrasah Rasulullah (s.a.w).


Setelah itu, Rasulullah (s.a.w) mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dengan Ansar. Baginda membuat perjanjian dan bai’ah dengan mereka, agar sentiasa membantu agama Islam. Baginda seterusnya telah menyiapkan kekuatan tenaga dan senjata, kerana mestilah ada kekuatan yang dapat membela kebenaran…


Jemaah yang tidak meletakkan jihad fi sabilillah dalam perkiraannya adalah tidak patut disertai. Dalam meletakkan jihad, mestilah mengikut susunan tiga bentuk kekuatan yang lalu. Kiranya kekuatan senjata digunakan sebelum terlaksananya kekuatan kesatuan, itu mungkin akan menyebabkan mereka berperang sesama sendiri kiranya berlaku perselisihan.


Tanpa kekuatan akidah, bererti usaha tersebut menjadi usaha yang tidak bertunjangkan akidah yang saling berkasih sayang, telah menjadi asas serta tiang seri, di mana tertegaknya Negara Islam yang pertama. Kebiasaannya, sesuatu bangunan itu dimulai dan ditegakkan dari asasnya, bukan dari bahagian atas.


Ketiga: Setakat betulnya kefahaman Islam sesuatu jemaah, dan setakat adanya ketetapan di dalam manhaj untuk menegakkan Negara Islam sahaja, belumlah cukup lagi. Tetapi jemaah tersebut mestilah bekerja melaksanakan kewajipan itu dengan cara yang betul. Tidak ada jalan yang lebih sah dari jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah (s.a.w) dan para sahabatnya bagi menegakkan Daulah Islamiah yang pertama. Ia adalah merupakan kekuatan akidah, kekuatan kesatuan dan seterusnya kekuatan tenaga dan senjata bila tidak ada jalan lain lagi.


Keempat: Jemaah yang sebegini mestilah bekerja sedaya upaya di seluruh dunia Islam, bukannya setakat di sebuah negara sahaja. Islam dan usaha ke arahnya mestilah merangkumi keseluruhan dunia Islam. Seterusnya, Negara Islam Antarabangsa yang dimaksudkan itu, mestilah mempunyai tapak yang luas, merangkumi semua bumi Islam.


Begitu juga, jemaah ini mestilah mengadakan hubungan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Islam yang sepertinya. Tujuannya ialah untuk menggembeling tenaga pekerja dan bantu membantu dalam bidang dakwah Islamiah. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan perpecahan ataupun tentangan terhadapnya.


Kelima: Sebagai contoh; jika terdapat dua jemaah yang sama-sama mempunyai empat syarat ini, tetapi salah satu daripadanya mempunyai kematangan, pengalaman dan persediaan yang lebih dalam bidang amal Islami, manakala yang satu lagi masih baru dan mentah, maka seseorang itu hendaklah menyertai jemaah yang pertama. Ini adalah untuk menjimatkan masa, tenaga dan nyawa.


Dengan itu, ia tidak perlu lagi merintis jalan bagi mendapatkan pengalaman. Lagipun dengan penyertaan ke jemaah yang pertama, kita dapat menyatukan kaum Muslimin di bawah satu kalimah, dan juga dapat mengukuhkan saf mujahidin. Kita dapat mengelakkan dari mengangkat terlalu banyak panji-panji, yang mana menyebabkan pekerja-pekerjanya berpecah. lagipun dengan cara ini kita dapat menjunjung firman Allah:
 ”Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai.” (Surah Ali-Imran: Ayat 103)


Tidak harus kita meninggalkan satu jemaah yang mempunyai pengalaman dan cukup pula empat syarat yang kita sebutkan dahulu, kecualilah jika kita dapati secara keseluruhannya ia telah menyeleweng, menjadi fasiq atau sesat secara terang. Mengenai dengan setengah-setengah kesalahan kecil, ataupun kesilapan-kesilapan individu yang tidak mungkin dapat dielakkan oleh mana-mana jemaah pun, tidaklah boleh kita menjauhkan diri serta tidak bekerjasama dengannya. Sebabnya, kita adalah manusia yang tidak sunyi dari kesilapan. Sebaliknya kita hendaklah menyertainya serta saling lengkap melengkapi sesama kita.


Itulah dia sebahagian dari sifat-sifat asasi yang mesti ada pada sesebuah jemaah yang patut disertai dan dijadikan wadah perjuangan, sepanjang kita melalui jalan dakwah ini.




http://hahnif.blogspot.com/2009/07/sifat-sifat-jemaah-islam.html

7 Mar 2011

Pemuda Islam...

Sedih melihat umat Islam zaman kini. Begitu jauh dari kemuliaan Islam. Begitu jauh dari Al-Quran. Disana- sini, umat Islam ditindas. Kemana perginya kesatuan umat Islam. Ketika musuh Islam sibuk merobek aqidah umat Islam, masih ramai yang terlena dalam kesenangan dan masih tidur dengan nyenyak..

Ketika saudara seaqidah menjerit kepiluan, kita masih mampu mengatur senyum dan ketawa...
Ketika anak-anak kecil di Palestin bersenjatakan batu mempertahankan tanah suci umat Islam, anak-anak kecil yang lainnya sibuk mengatur strategi perang di depan computer, alam maya yang penuh penipuan.

Ketika pemuda-pemuda di Palestin berlumuran darah di bedil peluru-peluru sesat Zionis, pemuda-pemuda yang lainnya berluruman darah kerana merempit dan bertelagah berebut perempuan. membanjiri pusat-pusat hiburan dan menghabiskan masa dengan perkembangan artis tempatan dan luar negara. Sedang penderitaan saudara sendiri terkubur di telan masa.




Ketika ibubapa di Palestin menanamkan semangan syahid dalam jiwa anak-anak untuk Islam, ibubapa yang lainnya menyuntik semangat berjuang agar anak-anak berjaya menjadi johan nyanyian dan lakonan.

Ketika orang-orang tua di Palestin menghabiskan hari-hari dengan doa agar anak cucu beroleh kemenangan untuk tanah yang sekeping itu, orang-orang tua yang lainnya menghabiskan hari-hari dengan melepak di kedia kopi dan bersembang kosong.

Nabi SAW ada bersabda: “Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan.”

Berkata seorang sahabat: “Adakah ia lantaran jumlah kita yang sedikit?”

Nabi menjawab: “Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih-buih ketika berlaku banjir. Allah mencabut rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu.”

Sahabat-sahabat bertanya: “Apakah dia al-wahan?”

Bersabda Nabi: “Cintakan dunia dan takutkan mati.”

(Riwayat Imam Abu Daud.)

Wahai pemuda-pemuda Islam sekalian. Besarnya peranan kita di bumi Tuhan ini. Bukan sekadar hidup menumpang, menunggu saat pulang kesisiNya. Kitalah roh-roh yang tepilih, unuk menghidupkan bumi ini dengan kalimah Islam. Hidup ini amanah, jangan sesekali disia-siakan. Hidup ini juga pinjaman, jangan merasa kita yang memilikinya.

Gunakanlah masa remaja, ketika masih punya tenaga dan kekuatan. Salurkanlah untuk Islam kerana itulah matlamat keidupan, mencari keredhaan Allah. Tinggalkanlah perkara yang sia-sia kerana ianya akan mengundang murka, dari Allah tuhan mencipta.

Sekecil mana pun usaha kita, besar nilainya disisi Allah, andai niat itu dimurnikan. Sebesar mana pun pangkat dan kekayaan, tidaklah ada nialainya disisi tuhan, andai tidak digunakan untuk Islam.
Mengapa dikejar dunia yang sementara, sedangkan kita tahu MATI itu pasti.
Sejauh mana kita bersedia untuk menghadapinya??
Ikhalaskan hati dalam beramal, moga bertemu ketenangan,
Tabahkan hati dalam berjuang, moga bertemu kemenangan.
Bersatulah dibawah kalimah tauhid,
Tiada tuhan salian Allah,
Nabi Muhammad pesuruh Allah...

25 Feb 2011

Hati yang sakit

Hati sedih dan sakit. Disimpan dalam-dalam.
Lalu berpesan pada diri...


"Nadiah, kalau ada kawan jadikanlah dia teman, kalau ada teman jadikanlah dia sahabat. Adab berkawan, bermasam muka dan kadang terasa. Yang penting sejauh mana huluran maaf mampu dihadiahkan. Kita mengharap dia tahu tetapi kita tak pernah memberitahu. Kita mengaharap dia faham, tetapi kita tak pernah memberi faham."


Pesanan lagi..


"Nadiah, bila berteman, usah mengharap dia meminta, tetapi selalulah kita yang memberi. Samaada dia tahu atau tidak, apa yang pasti Allah tahu. Bila berteman, jangan terlalu berharap untuk dia memahami, kerna dia hanya insan biasa. Pujuklah diri dengan senyuman, bahagiakan diri dengan iman."


dan berpesan lagi...


"Nadiah, kenapa dilupakan teman yang sentiasa disisi. Yang sama bersusah dan bersenang. Yang sama mengorak langkah di malam gelita, yang sama meredah sejuk menanti musim bunga, yang sama berpenat dan menahan lelah, biarpun cuma datang menunjuk muka."


Hati lantas meluahkan...


"Sedih bila melihat teman2. Yang muncul diwaktu senang, dan pulang bila kita memerlukan. Yang datang sekadar untuk meraikan, walaupun hakikatnya hati mengharap untuk sama meringankan tulang..."


Maka hati membuat kesimpulan..


"Bila ada program, jadilah mereka yang datang awal dan tolong susun kerusi meja, bukan sekadar datang dan terus menjadi penonton. Bila ada program, jadilah mereka yang lambat pulang dan tolong kemas kerusi meja, bukan sekadar pulang sebagai tetamu jemputan. Bila berada dalam persatuan, jadilah ahli yang menawarkan diri untuk membantu, bukan sekadar menunggu untuk diarahkan. Pemimpin atasan juga punya perasaan, terkadang segan bila terlalu selalu memohon sumbangan."


Maka pesanlah pada diri... Ubatilah hati yang sakit...

14 Feb 2011

Seorang ibu

Seorang ibu. Yang padanya tempat bergantung kami anak-anak. Dialah ibu dan dia jugalah ayah. Dialah yang menegur, terkadang meninggi suara bila tingkah anak-anak terasa sonsong. Dia jugalah kemudiannya datang memujuk dengan usapan lembut, tatakala rajuk anak-anak tidak bertempat dek teguran sayang si ibu yang disalah erti.


Seorang ibu. Yang pada wajahnya sungguh tabah dan cekal, menyuntik semangat pada jiwa anak-anak. Dikala hatiku terasa sesak dan penuh duka, suaranya menjadi penawar meringankan hiba. Pada wajah seorang ibu itu, aku mengenal erti hidup dan kesungguhan.


Seorang ibu. Yang besar jiwanya dihadapan anak-anak. Hakikatnya, hati itu juga adalah hati seorang wanita. Yang mudah terluka dan berdarah. Punya masa dan ketika, hati itu basah dengan air mata. Ahh, sungguh hatiku marah. Pada mereka yang melukakan hati ibu. Cukuplah hatinya menangis dulu, mengapa harus ditambah lagi , hingga hati ibu terus basah dalam lena yang dibuat-buat dan dalam senyum yang direka-reka.


Sungguh, kami masih anak-anak kecil, yang tidak mengerti besarnya hati ibu. Maafkanlah atas jahilnya kami menilai pengorbananmu. Maafkanlah atas butanya kami pada kasih dan sayangmu. Maafkanlah atas tulinya kami pada nasihatmu. Namun, ketahuilah ibuku, anak-anakmu ini sentiasa disisi. Bukanlah kami seorang penyair yang pandai menyusun kata. Sekadar anak kecil yang sama merasa sedihnya hati ibu yang berduka, dan senyuman hati ibu yang ketawa..


Terima kasih ya Allah, pada kurniaan seorang ibu untuk anak-anak kecil ini. Bantulah agar, hati ibu sentiasa tenang. Kerana hatiku juga akan turut gembira, pada senyuman hati seorang ibu.. Salam sayang buat emak .>>ENGKU RAMAH ENGKU JUSOH<<

27 Jan 2011

Di bumi itu..

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kepada Allah. Dalam kesibukkan dan tekanan exam yang mengasak, Allah beri khabar gembira dari bumi Malaysia. Eyra berjaya akhirnya dapat tawaran ke SBPI Rawang aka SEPINTAR.


Moga sedihnya sebab tak dapat tawaran selepas UPSR, Allah ganti dengan jejak-jejak ke bumi SEPINTAR. To be honest, hati ini rasa gembira yang amat sangat, tak tahulah kenapa. Mungkin terkenang memori suka duka dibumi itu. Pada teman-teman yang mewarnai kehidupan juga pada guru-guru yang tidak jemu mendidik dan mentarbiyyah.


Dibumi itu aku temui erti hidup. Meskipun tidaklah sehebat di alam University. Tetapi memadai untuk melengkapkan diri, sebelum berjuang di medan sebenar. Moga apa yang aku rasakan, akan turut dirasai olehnya, bahkan moga lebih baik dari itu.


Dibumi itu,
Aku mengenal erti persahabatan.
Dalam tawa, ada duka yang dikongsi
Dalam gembira, ada air mata yang gugur bersama.


Pada adikku, melangkahlah dengan niat keranaNya. Moga perjalanan yang berliku terasa lurus, dan yang pahit terasa manis.



"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat,
dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah.
Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."
( At-Taubah,9:41)

Lencana SEPINTAR

Panorama SEPINTAR : pemandangan dari kawasan larangan, tangki air SEPINTAR =)

Bangunan Pentadbiran SEPINTAR

Dewan Makan SEPINTAR
(obviously dulu mane de hidang2. Beratur beb~)

Peduli

Usai meeting bersama executive Islamic Society Nottingham University atau nama manjanya Notts ISOC, kaki melangkah laju ke surau untuk solat. Alhamdulillah, suraunya tidaklah terlalu besar tapi selesa, tempat bertemu rakan seakidah dari seluruh pelusuk dunia.

Kebetulan pula bertemu seorang sister dari Iran, Sudabhet namanya (tak tahu ejaan betul ke tidak). Seorang pelajar master dalam bidang English Language. Menariknya, mungkin sebab sudah terlalu lama berada di bumi UK, tambahan pula belajar subject English, slang pun dah sama macam slang orang disini (UK).

Kami berbual, tidaklah terlalu lama tetapi perbualan turut menyentuh isu sejarah...=))
Iran, dulunya dikenali sebagai Parsi. Bila bercakap tentang Parsi, x lengkap untuk tidak turut bercakap tentang Rom. Dan bila bercakap tentang Rom dan Parsi, teringat pula petikan ayat Al-Quran, (Ar-Rum 30 : 2-4)

“Telah dikalahkan bangsa Rumawi (yang berpusat di Konstantinopel), 
di negeri yang terdekat (terdekat ke negeri Arab iaitu Syria dan Palestina) 
dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang, 
dalam beberapa tahun lagi. 
Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). 
Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu 
bergembiralah orang-orang yang beriman,…”

Ketika tersiar berita kekalahan bangsa Romawi, kaum musyrikin Mekah menyambut dengan penuh gembira manakala kaum muslimin berduka-cita. Kenapa pula kaum muslimin nak bersedih? Jika diteliti, bangsa Romawi pada saat ayat ini diturunkan adalah satu bangsa yang beragama Nasrani yang mempunyai Kitab Suci sedangkan Parsi beragama Majusi penyembah api dan berhala (musyrik).

Janji Allah pasti datang. Kemenangan bangsa Romawi terbukti tujuh tahun selepas kekalahan mereka. Bukti kebenaran Al-Quran, terlakar di lembaran sejarah.

Kita melihat, betapa kaum muslimin di Mekah mengikuti perkembangan isu dunia. Mengambil ibrah buat diri sendiri dan semua, betapa hidup kita ini, janganlah hanya seperti katak dibawah tempurung. Bergelumang dengan masalah tersendiri dan menidakkan sedikit masa untuk PEDULI tentang umat islam yang lain.

7 Jan 2011

Rapuh...

Maafkanlah bila hati tak sempurna mencintaiMu...


Dalam dada, ku harap hanya diriMu yang bertakhta..

6 Jan 2011

Pergilah dikau dengan tenang

Pergilah dikau dengan tenang,
walau kami di sini sangat kehilangan,
belum puas rasanya kita saling berbalas bicara,
belum cukup kita bergurau senda,
belum cukup aku merasa sayang,
walau telah banyak yang kau curahkan.


Pergilah dikau dengan tenang,
Kami iringi tangisan tidak berlagu,
Hati basah berendam rindu,
Dan sebak menahan pilu,
Hanya doa yang mampu kami kirimkan,
Dalam tadahan dihujung sembahyang,
Juga kenangan dihujung ingatan.


Pergilah dikau dengan tenang,
Walaupun sering kami mengharapkan,
Agar engkau segera pulang,
Kembali disisi saat susah dan senang,
Berkongsi tawa dan ketawa riang.


Pergilah dikau dengan tenang,
Janganlah diambil senyuman itu dari kami yang kau tinggalkan,
Janganlah dirampas kenangan indah yang kau titipkan,
Janganlah dipadam kasih yang pernah engkau hulurkan,
Kami akan nanti menyusul dibelakang,
Menunggu waktu dan giliran.


Pergilah dikau dengan tenang,
Doakan bonda, isteri dan anak-anakmu,
Moga kami sentiasa aman,
Tenang hati bersama iman,
Dan engkau juga hanylah pinjaman,
Haruslah kami pulangkan,
Biarpun hati pedih dengan sebuah kehilangan.


Pergilah dikau dengan tenang,
Kutitipkan kata-kata mewakili rasa,
Andai kau tahu betapa aku sayang,
Betapa aku rindu dan terkilan,
Bila kau pergi tika aku dikejauhan,
Tinggallah aku walau bukan sendirian.


Pergilah dikau dengan tenang.
Pergilah..
Pergilah..