Pages

20 Jun 2011

Tawakkal

Sebulan study leave, terasa masa berlalu begitu pantas. Masih banyak yang belum dibaca semula dan masih banyak yang belum difahami lagi. Mengapa boleh jadi begini? Terasa begitu pendeknya waktu yang tinggal sedangkan telah 3 bulan sem 2 berlalu. Kemanakah hari-hari yang telah lalu hingga diri rasa begitu sesak dan lemas dalam tuntutan ulang kaji yang terasa berat dan menyiksakan.

Tidak berkatkah masa yang telah berlalu? Bukan bersangka buruk dengan Allah, sekadar bermuhasabah diri, adakah masa-masa yang telah lalu aku isi dengan perjuangan di atas jalanNya. Atau masa itu berlalu seperti masa-masa yang terdahulu. Ketika aku begitu cetek akan tujuan dan hakikat kehidupan.



Keluar dari dewan peperiksaan, bercampur baur perasaan. Antara sedih kerana tak dapat jawab soalan, juga tenang kerana itu yang terbaik telah aku lakukan. “Baca banyak mana pun, hafal sungguh mana pun, kalau Allah tak bagi ingat memang x ingat” luah seorang sahabat. Tersentap telinga yang mendengar. Peringatan itu sangat bermakna buat diri ini. Mengingatkan aku erti kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya. Pertolongan Allah itu ada dimana-mana, andai saja kita memohonnya…


Usai peperiksaan, focus di arah pada amanah-amanah yang tertangguh kerana memberi laluan kepada ulang kaji. Kata orang, berjuang itu jalannya pahit.  Alhamdulillah, kali ini Allah beriku peluang merasa pahitnya perjuangan. Aku merasa hangatnya titis air mata yang jatuh kerana pedihnya luka sepanjang laluan yang berduri.

Segera ku berpesan pada diri, dalam kita semangat dan berkobar-kobar menyampaikan Islam, jangan kita lupa kepada yang empunya hati. Berdoalah kepada pemiliknya, moga diberi peluang kepada kita dan orang-orang disekeliling untuk merasa nikmat Iman dan Islam. Kerana segigih mana dan sekuat mana pun usaha, tiadalah erti tanpa pertolongan Allah.

Kata orang, kadang-kadang Allah datangkan hujan ditengah-tengah panasnya mentari, rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi untuk kita nikmati dipenghujungnya. Terasa manisnya ujian yang Allah beri, bila insan-insan disekeliling menjadi penguat dari belakang. Manisnya hidup berjemaah, terasa hilang arah bila bersendiri. Terasa amannya hati, bila memahami erti perjuangan tidak semestinya diakhiri dengan kemenangan dan kesenangan. Yang penting, sejauh mana usaha telah didahulukan dan seteguh mana tawakkal diiringkan.