Pages

1 Sept 2012

Anak kecil yang besar

Eidul fitri dikampung, dirai bersama saudara jauh dan dekat, akan sentiasa menjadi kerinduan. Yang pasti keletah anak-anak kecil yang kejap bergaduh kemudiannya damai semula adalah nadi keriangan suasana desa yang menghiburkan. 

Dalam kemeriahan yang mengasyikkan, aku jadi takut pada masa depan. Memandang wajah-wajah suci anak-anak kecil ini, terlintas dibenak tentang tanggungjawab dan amanah yang besar. Sungguh mereka anak-anak kecil, nakal itu adalah lumrah. Namun disebalik kenakalan mereka itu… 
Barangkali ada kesilapan yang terlepas pandang oleh kita, yang lebih dulu makan garam.
Barangkali ada terkurang nasihat dan teguran buat mereka dari kita yang berlagak dewasa.
Barangkali tegar dan kebalnya mereka dengan teguran kita, adalah refleksi kita yang sama degil dan sambil lewa dengan nasihat dan teguran orang lain kepada kita, dikala diri sendiri terbawa oleh urusan yang tidak perlu dan tidak patut.
Barangkali kita begitu penat dan terlupa menadah tangan, menghulur sekeping doa buat mereka anak kecil yang besar, lewat dahi bertemu sejadah di hujung solat yang mungkin penuh tergesa dan mahu segera siap.
Begitu banyak barangkali yang mungkin dan mungkin, tidak terfikir oleh akal yang cetek ini. Seharusnya, kenakalan mereka jadi peluang buat menitipkan sepotong dua nasihat. Memandang mereka anak-anak kecil, aku jadi malu pada diri. Anak kecil yang besar amanah yang datang bersamanya. Terasa kerdilnya diri oleh tanggungjawab yang menanti dihadapan. 

Ya Allah moga Engkau akan terus menyemai rasa cinta dihati ini kepadaMu. Moga cinta ini bercambah dan mekar bersama insan-insan istimewa yang engkau hadirkan buat diri. Terima kasih ya Allah. Anak kecil yang besar, besar amanah yang hadir bersamanya…

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa."