Pages

5 Aug 2010

Aku menulis...

...Masih banyak yang belum abah cerita dan
masih banyak yang belum sempat saya tanya.
Kerana itulah saya gigihkan diri merakam episod
perjalanan hidup agar anak-anak tidak bersedih seperti saya.
Sedih kerana bayangan abah semakin kabur diingatan,
selepas satu demi satu nilai kehidupan,
diubah oleh perjalanan masa dan persekitaran...
(Murabbi Cinta, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)

Semakin lama wajahnya makin kabur
Bukan kerna lupanya aku pada dirinya
Memori dan kerinduan itu akan tetap subur
Sesuburnya kasih dan sayang yang diberi
Semakin lama perginya makin kurasa
Kerna fitrah manusia
Hanya pandai menghargai bila sudah tidak disisi

Khabar duka yang singgah dalam kehidupan
dari bonda yang  jauh di tanah air
Tiada ciuman dan salam yang dapat kuhulurkan
Apatah lagi untuk menyaksikan sebuah pemergian
Hari-hari yang ku lalui
Hanya berbekalkan suara bonda yang kesedihan
Setelah lama berkongsi kasih
Akhirnya harus berdiri sendiri

Mungkin kerana tidak bersama diperkuburan
Aku mengharapkan ini hanyalah gurauan
Bukan mudah untuk memujuk diri
Menerima sebuah kenyataan
Mungkin inilah yang sahabat rasakan
Marah yang membara bila diberitakan
Hingga sanggup menggadaikan iman
Membunuh sesiapa yang mengkhabarkan
Sebuah kehilangan
Bila Rasulullah tidak lagi berdampingan.

Aku menulis untuk semua
Agar ada coretan dikala kita tidak lagi bersama
Aku bermula dengan sebuah kisah duka
Moga kita sentiasa bermuhasabah
Bahawa hidup ini bukanlah segalanya
Sedangkan kita selalu lupa padaNya...

...Al-Fatihah...